Menurut Philips dua pertiga penduduk dunia akan hidup di kota menjelang 2050

July 7, 2010

Statistik daripada Laporan Global mengenai Penempatan Manusia oleh UN-Habitat mendedahkan bahawa lebih separuh daripada penduduk dunia kini hidup di bandar raya, dan nisbah ini dijangka meningkat kepada lebih dua pertiga daripada penduduk dunia menjelang 2050. Lebih daripada separuh penduduk dunia yang hidup di kota menggunakan 70% daripada bekalan tenaga dunia. Kepesatan pembangunan bandar, yang berlandaskan kemajuan ekonomi, menimbulkan beberapa cabaran besar. Bandar raya di seluruh dunia menghadapi cabaran untuk membangunkan infrastruktur yang menyokong peningkatan ketara penduduk bandar. Masyarakat bandar juga menghadapi kesukaran membina infrastruktur penjagaan kesihatan kerana corak pemakanan yang semakin berubah, kegiatan fizikal yang berkurangan disebabkan tugasan kerja masa kini yang kurang aktif dan kaedah pengangkutan yang semakin berubah dalam persekitaran bandar menyebabkan masalah kegemukan dan penyakit berkaitan gaya hidup semakin berleluasa.

Trend penggunaan tenaga global 

Penyelidikan juga menunjukkan bahawa bangunan awam dan komersil menggunakan 60% daripada tenaga global. Sehingga 50% daripada tenaga kawasan perbandaran dihabiskan untuk menghidupkan lampu. Usaha menjadikan bangunan cekap guna tenaga boleh menjimatkan lebih banyak karbon dioksida berbanding seluruh emisi karbon dioksida dalam sektor pengangkutan. Menurut Philips, kadar naik taraf infrastruktur, yang berasaskan teknologi lampu lama yang tidak cekap adalah terlalu perlahan. Bagi lampu pejabat contohnya, kadarnya hanya 6-7% setahun. Bagi lampu kota, hanya 3%. Pada kadar ini, tempoh selama 30 tahun diperlukan sebelum teknologi cekap guna tenaga baru boleh membawa manfaat kepada alam sekitar, ekonomi dan kualiti kehidupan.

Menerusi program pengubahsuaian infrastruktur bandar, perubahan kepada teknologi lampu baru yang cekap guna tenaga boleh membantu mencapai anggaran penjimatan tenaga sehingga 40 peratus. Penggunaan infrastruktur lampu tidak cekap bukan sahaja berlaku pada bangunan dan struktur awam. Data industri menunjukkan bahawa di seluruh dunia, satu pertiga daripada jalan masih menggunakan penyelesaian teknologi lampu yang murah dan tidak cekap.

Bertukar kepada penyelesaian cekap guna tenaga
Philips percaya perkara paling penting untuk menangani cabaran ini ialah memahami bandar raya sebagai ekosistem yang dinamik dan pantas berubah. Konsep ini amat penting bagi perancang bandar supaya mereka dapat menyusun rangka tindakan bagi pembangunan bandar yang lestari. Philips adalah antara warga korporat utama yang menggalakkan pertukaran kepada penyelesaian cahaya cekap guna tenaga yang inovatif. Malah Philips komited untuk berganding bahu dengan badan kerajaan untuk membina pusat bandar lestari yang membolehkan warganya menikmati kualiti kehidupan yang tinggi. Penggunaan lampu cekap guna tenaga dalam bangunan hijau dan di seluruh pelosok bandar raya boleh meniup semangat baru kepada masyarakat setempat dan mengurangkan jenayah, menguruskan penggunaan tenaga dalam operasi komersil, dan menanamkan semangat kekitaan dan kebanggaan masyarakat terhadap bandar raya mereka.

Philips berganding bahu dengan majlis perbandaran untuk menambah baik infrastruktur lampu yang membolehkan orang ramai rasa lebih selamat sambil mencegah jenayah. Pada masa yang sama, lampu di kawasan awam telah digunakan dalam program mencantikkan bandar raya untuk memupuk rasa bangga dan tanggungjawab penduduk kota selain menjadi sumber rekreasi dan nikmat hidup di bandar. Philips juga telah membangunkan penyelesaian lampu berasaskan LED yang membolehkan arkitek kota menambah baik dan memperkaya bandar raya dan masyarakat bandar dan mencipta mercu tanda ikon yang menjadi lambang kebanggaan kota seperti; London (London Eye), Philadelphia (Avenue of the Arts), Hangzhou di China (The Grand Canal) dan Menara TV Guangzhou.

Sidang Bandar Raya Dunia 2010
Philips menekankan komitmennya untuk menggalakkan kesihatan dan kesejahteraan di Sidang Bandar Raya Dunia 2010 (WCS 2010) yang diadakan di Singapura. Sebagai penaja utama di WCS 2010, Philips menggunakan forum ini untuk melibatkan Datuk Bandar dan perancang bandar dari 60 negara dalam usaha menyedari keperluan membangunkan agenda Kesihatan dan Kesejahteraan untuk meningkatkan keselesaan hidup warga kota dari seluruh dunia, dengan mencari penyelesaian mudah yang menangani masalah kritikal yang dihadapi oleh masyarakat pada hari ini.

Anugerah Bandar Raya Sesuai Didiami Philips
Philips memanfaatkan forum WCS 2010 untuk memperkenalkan Anugerah Bandar Raya Sesuai Didiami Philips kepada warga Asia Pasifik. Anugerah Bandar Raya Sesuai Didiami Philips membantu menjana idea yang praktikal dan boleh dilaksanakan untuk meningkatkan taraf kesihatan dan kesejahteraan warga kota. Program ini menyediakan dana hadiah berjumlah 125,000 Euro bagi penyertaan yang menang dalam tiga kategori; Kesejahteraan Luar, Kehidupan Bebas dan Gaya Hidup Sihat di Rumah dan Pejabat:

Philips telah menubuhkan Kumpulan Pemikir Bandar Raya Sesuai Didiami yang akan memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan kualiti kehidupan kota di seluruh Asia. Kumpulan Pemikir Bandar Raya Sesuai Didiami Philips telah ditugaskan oleh Pusat Kesihatan dan Kesejahteraan Philips bagi menghimpunkan pakar dari seluruh dunia untuk memerah idea dan mencari penyelesaian mudah yang akan memberikan kesan positif yang bermakna terhadap kesihatan dan kesejahteraan masyarakat. Mesyuarat pertama Kumpulan Pemikir Bandar Raya Sesuai Didiami Philips telah diadakan di Singapura pada 24 Jun. Ahli panel bagi Kumpulan Pemikir Philips membincangkan isu seperti kemapanan kota serta tahap keterlibatan dan kepelbagaian penduduk kota yang berkait rapat dengan kesesuaian sesebuah bandar raya untuk didiami.

Pendekatan Philips kepada Bandar Raya Sesuai Didiami adalah bertumpukan insan. Philips percaya indeks kesesuaian didiami sesebuah bandar raya boleh diperbaiki menerusi perkongsian dipertingkatkan menerusi gandingan sektor swasta awam yang membantu membina model pakatan dan kerjasama yang sewajarnya antara perancang bandar dan organisasi.

Anugerah Bandar Raya Sesuai Didiami Philips bertujuan mengenal pasti penyelesaian mudah bagi cabaran rumit yang dihadapi oleh penduduk di kawasan bandar hari ini.  Program ini membabitkan tiga kategori anugerah berbeza iaitu;

• Kesejahteraan Luar: Inisiatif yang membolehkan penduduk rasa selamat di kawasan awam atau membantu mencipta identiti bandar raya dan memupuk semangat kekitaan dan kebanggaan;
• Kehidupan Bebas: Inisiatif yang akan membantu semakin ramai warga tua yang tinggal seorang diri untuk hidup di kota dengan selamat dan selesa, dengan kemudahan penjagaan kesihatan yang sewajarnya;
• Gaya Hidup Sihat di Rumah dan Pejabat: Inisiatif yang akan menyokong kesihatan badan dan minda, sama ada menerusi persekitaran seseorang atau menerusi perkara penting lain seperti senaman dan diet.

Anugerah keseluruhan yang bernilai 75,000 Euro akan diberikan kepada idea terbaik yang dikemukakan dalam salah satu daripada tiga kategori, di samping dua anugerah tambahan bernilai 25,000 Euro setiap satu. Kriteria anugerah akan ditetapkan oleh panel pakar antarabangsa yang dipengerusikan oleh Richard Florida, penulis buku The Great Reset, Pengarah Martin Prosperity Institute dan Profesor Perniagaan dan Kreativiti di Roman School of Management, University of Toronto. Kriteria terperinci penyertaan dan penghantaran dalam talian bagi Anugerah Bandar Raya Sesuai Didiami boleh didapati di www.philips.com/because. Tarikh akhir penghantaran ialah jam 5.00 petang CET pada 28 Oktober 2010. Para pemenang akan diumumkan di Majlis Anugerah yang akan diadakan pada April 2011.

For further information, please contact:

Christina Celestine
Royal Philips Electronics
Tel: +603 7965 7488
Email: christina.celestine@philips.com.